JK kabinet: S’gor boleh struktur semula bekalan air

Jumat, 31 Agustus 20120 komentar

Kerajaan Selangor boleh melaksanakan skim penstrukturan semula bekalan air seperti di negeri-negeri lain yang telah menstrukturkan industri perkhidmatan bekalan air negeri masing-masing. Namun pelaksanaannya hanya boleh dibuat selagi ia mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua perjanjian konsesi air dan semua undang-undang yang berkuatkuasa.
Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air Selangor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat keduanya pada 2 Ogos lepas.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa itu, keputusan tersebut adalah selaras dengan pendirian kerajaan persekutuan yang tidak pernah menghalang kerajaan Selangor melaksanakan model penstrukturan yang dihasratkannya.
Bagaimanapun, berbeza dengan negeri-negeri lain, pelaksanaan “model holistik” yang dihasratkan kerajaan Selangor itu memerlukan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air di Selangor.
Menurut kenyataan itu, pada masa ini penglibatan kerajaan persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) adalah terhad kepada pengambilalihan liabiliti dan aset air berkaitan dengannya sahaja.
Fungsi PAAB juga tidak membenarkan pengambilalihan pegangan ekuiti dalam sesebuah syarikat operator air.
Oleh itu, jawatankuasa tidak berhasrat campurtangan dalam usaha kerajaan Selangor mengambil alih pegangan ekuiti dalam syarikat-syarikat konsesi memandangkan ia transaksi komersial di antara kedua-dua pihak yang sewajarnya dilaksanakan berdasarkan konsep ‘willing buyer, willing seller’, menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, kerajaan persekutuan melalui PAAB sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk mengambil alih liabiliti dan aset air berkaitan dengannya sebagaimana PAAB memberikan kemudahan tersebut kepada negeri-negeri lain.
Malahan, menurut kenyataan itu, dalam tiga tawaran pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air yang dikeluarkan oleh kerajaan Selangor sebelum ini pun, PAAB turut dilibatkan mengambil alih liabiliti dan aset air berkaitan dengannya.
Berasaskan prinsip-prinsip tersebut, Jawatankuasa berpandangan bahawa kerajaan Selangor dan syarikat-syarikat konsesi perlu meneruskan rundingan bagi memuktamadkan segera penstrukturan semula pegangan ekuiti dalam industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu.
“Ini kerana kelewatan penstrukturan semula ini telah memberi kesan yang besar terhadap industri perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor,” tambah kenyataan itu.
Mengenai pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2, jawatankuasa itu bersetuju supaya tender bagi pelaksanaan projek loji itu diteruskan sepertimana yang diputuskan dalam mesyuarat yang lepas walaupun tanpa memperoleh ‘development order’ daripada pihak berkuasa-pihak berkuasa tempatan berkaitan.
Sehingga ke hari ini, kerajaan Selangor telah menghalang pihak berkuasa-pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk mengeluarkan ‘development order’ bagi pelaksanaan projek tersebut.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa mengambil keputusan tersebut dengan mengambil kira asas-asas berikut:
Kapasiti pengeluaran air terawat sedia ada dan projek-projek mitigasi yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan hanya dapat menampung permintaan air sehingga tahun 2016;
Pembinaan komponen terowong dan muka sauk untuk menyalurkan air mentah dari Sungai Semantan, Pahang ke Hulu Langat, Selangor sedang berjalan dengan lancar dan dijangka disiapkan pada tahun 2014.
Penangguhan pembinaan komponen Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihan air yang sepatutnya dimulakan pada tahun 2010 akan menyebabkan penambahan kapasiti air terawat bagi menampung kekurangan air menjelang tahun 2014 tidak dapat dipenuhi.
Kerajaan Persekutuan terpaksa mengeluarkan belanja tambahan sebanyak RM606 juta sebagai langkah mitigasi bagi mengelakkan berlakunya krisis air pada tahun 2014.
Penangguhan pelaksanaan projek tersebut dan perbelanjaan tambahan bagi melaksanakan projek-projek mitigasi telah mengakibatkan pembaziran wang rakyat.
Oleh itu, Loji Rawatan Air Langat 2 perlu disegerakan pelaksanaannya untuk memastikan kesan penangguhan pelaksanaan projek dapat diminimumkan; dan
Pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 merupakan opsyen terbaik daripada segi kewangan, teknikal dan sosial bagi memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat bekalan air yang mencukupi dan berterusan sehingga tahun 2020.
Opsyen ini dipilih berdasarkan kajian yang dilaksanakan pada tahun 2000 dan telah dipersetujui oleh kerajaan Selangor.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) telah membentangkan cadangan Pelan Kontigensi kepada jawatankuasa.
Bagaimanapun, jawatankuasa telah mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meneliti dan memuktamadkan Pelan tersebut sebelum diperakukan kepada kerajaan.
SPAN juga telah diminta meneliti dan memperakukan kriteria-kriteria yang memerlukan Pelan Kontigensi tersebut diaktifkan.
- Bernama
Share this article :

Poskan Komentar

himpunan makalah Headline Animator

barner

Windows Live Messenger + Facebook

cinta

adsne2

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. ROES HIMPUNAN MAKALAH - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger